4 January 2014

Tok dan Zaman Dulu ku

Masa aku kecik2 dulu, Atok/Tok (panggilan orang johor bagi nenek perempuan) yang besarkan aku, sebelum pergi menoreh getah, beliau akan terlebih dahulu membuat kuih untuk jualan. Seingat akulah, kuih yang biasa dijual oleh Tok ku ialah kuih keria, cucur udang, cucur badak dan karipap. Entri aku di awal tahun 2014 ni bukanlah untuk menceritakan susah dan jerihnya kehidupan aku ketika kecil tanpa ayah dan ibu di sisi, tetapi aku ingin mengimbau kembali saat2 aku membesar dengan didikan dan asuhan Tok di kampung. Walaupun Tok ku tidak berpelajaran, tidak tahu membaca dan menulis, tetapi alhamdulillah, aku dididik menjadi orang yang berpelajaran duniawi dan akhirat dan khatam al quran ketika umur 11 tahun.

Waktu pagi sebelum ke sekolah, Tok akan menyediakan sarapan, nasi goreng yang Tok masak menggunakan dapur arang atau kadang2 dapur kayu (bila stok arang telah habis) amat lazat rasanya. Keenakkannya terasa di hujung lidah sehingga kini. Resepi yang sangat ringkas, cili kering, ditumbuk bersama bawang merah, bawang putih dan ikan bilis, ditumis dan digoreng menjadi nasi goreng yang sangat lazat di dunia. 

Di sekolah Tok hanya membekalkan aku 20 sen sehari sebagai belanja. Alhamdulillah aku kenyang dengan 20 sen itu kerana dengannya aku boleh menikmati nasi lemak dan air di kantin sekolah pada waktu rehat. Usai waktu persekolahan kira-kira pukul 1.00 tengahari, Tok yang baru pulang dari kebun menoreh getah bergegas untuk memasak makan tengahari kami. Menu asam pedas rebus ikan duri menggunakan cili besar merah ditumbuk bersama kunyit, bawang merah dan bawang putih, di ketuk sedikit lengkuas, direbus begitu sahaja bersama air asam jawa dan daun kesum cukup membuka selera. Oh Tok sesungguhnya aku sangat rindu pada air tanganmu...

Tahun ini Tok masih bersama- sama kami, aku sentiasa doakan dia sihat, beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Terima kasih Tok kerana menjaga aku sehingga aku menjadi seperti apa aku sekarang. Semuanya kerana jasa dan pengorbanan mu. Budi mu terlalu luhur dan tak mungkin dapat ku balas... 

No comments: