9 January 2013

Janji Allah Sayang


Hari ini aku tidak malu untuk menjadi sentimental dan emosi, inilah sebenarnya dunia aku, aku suka menulis, merenung kehidupan, membentangkan cerita tentang falsafah hubungan sesama manusia, tentang cinta, kasih sayang, naluri dan perasaan, impian dan cita-cita dan juga tentang kemanusiaan. 

Aku pernah lalui kehidupan yang sukar, kesukaran yang menuntut aku terus berjuang untuk meneruskan kehidupan. Aku mahu lupakan kesedihan yang pernah aku lalui, mulakan hidup bersama orang-orang yang dapat menghilangkan kepura-puraan dalam keriangan gelak tawa aku. Namun aku sedar mencari kebahagiaan bukan semudah yang diimpikan.

Dalam hidup ini aku mampu melakonkan pelbagai watak. aku mampu menjentik orang ketawa seterusnya meyakinkan mereka betapa ceria dan indahnya hidup ini. Di pentas yang lain pula jalan cerita aku berbeza, cukup menyentuh perasaan dan menuntut airmata. Namun aku tak pernah kesal dengan apa yang berlaku. Aku redha diuji, kerana ujian inilah aku jadi insan istimewa. Hidup aku adalah milik aku, kebahagiaan aku adalah dengan cara aku tanpa menyusahkan sesiapa.

No comments: