Ketika membuka sebuah kotak lama yang dalam simpanan saya, saya terjumpa keratan akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 26 Mac 2006. Kisah yang dicoretkan di dalam Ruangan Luahan Rasa Bersama Putri itu berbunyi begini...
Kira-kira empat tahun nan lalu,
saya mengalami masalah berat badan yang sangat serius. Berat badan saya pada
masa itu telah mencecah 98kg. ketika itu, saya berasa sungguh tertekan dan
rendah diri yang amat sangat. Saya dibeza-bezakan dan sering dijadikan bahan
senda gurau serta ejekan orang.
Bukan itu sahaja
penderitaan yang saya alami. Paling perit apabila saya sering kali gagal dalam
mendapatkan pekerjaan. Malah, saya pernah dihina ketika temu duga gara-gara
fizikal saya yang gemuk. Buat pengetahuan Putri, saya mempunyai kelulusan
akademik dari sebuah university luar Negara. Mempunyai kelayakan professional
dalam bidang perakaunan, berkemahiran dalam pengurusan pejabat, amat fasih
berbahasa inggeris dan mampu menguasai mandarin dengan baik. Kelulusan saya itu
sepatutnya melayakkan saya memegang jawatan professional dalam syarikat. Tetapi
oleh kerana sukar mendapatkan pekerjaan disebabkan oleh majikan yang pendek
akal dan memilih bulu-hanya memandang kesempurnaan fizikal, saya hanya mampu
bertugas disebuah agensi pelancongan sebagai kerani biasa dengan gaji hanya
RM600 sebulan!. Gaji yang jauh sepuluh kali ganda berbeza jika dibandingkan
dengan kelayakan akademik yang saya ada. Semuanya gara-gara saya berbadan
besar.
Tiada seorang lelaki pun yang ingin memandang saya walau hanya sebelah
mata. Kawan-kawan meminggirkan saya kerana malu untuk berkawan dengan orang
selekeh seperti saya. Saya hidup seorang diri, saya kerap menangis mengenangkan
nasib diri. Saya malu berdepan dengan masyarakat dan keyakinan diri saya hilang
sama sekali. Saya telah mencuba pelbagai cara untuk mengurangkan berat badan
tetapi semangat saya sering putus separuh jalan. Berbagai-bagai jenis ubat
melangsingkan badan juga telah saya cuba namun hasilnya hanya sementara. Malah
kesan sampingan yang saya terima amat buruk sehinggakan saya terlantar di
hospital.
Oleh itu, saya suka
mengingatkan di sini agar mana-mana pembaca yang berhasrat menguruskan badan
agar mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu sebelum mencuba apa-apa produk
yang terdapat di dalam pasaran. Untuk kebaikan anda juga supaya tidak
mendatangkan kemudaratan lain. Saya bercakap berdasarkan pengalaman.
Satu ketika, saya
terpanggil untuk mencuba diet saya sendiri tanpa bantuan sebarang ubat
pelangsing. Saya bertekad untuk menguruskan badan kerana saya tidak mahu terus
hidup dalam satu keadaan yang serba tidak berguna. Saya sayangkan diri saya.
Diet saya bermula dengan mengawal pemakanan, saya makan dua keeping roti, minum
bergelas-gelas air putih, saya hanya makan sayur-sayuran dan ikan yang direbus
dengan dua sudu nasi setiap hari.
Saya akan berhenti
mengambil makanan selepas pukul 5 petang. Setiap pagi selepas solat subuh, saya
akan berjogging, selama satu jam. Balik dari kerja, saya bersenam aerobic di
rumah selama sejam lagi. Dua kali seminggu saya akan ke gim bagi tempoh dua
jam. Setelah setahun berlalu, saya beroleh hasilnya. Berat badan saya kini 50kg
sahaja.
Kalau dulu orang yang
sebaya dengan emak saya memanggil saya kakak kerana saya jauh lebih tua dari
usia saya tetapi kini orang tidak percaya jika saya katakana saya sudah berumur
30 tahun. Selain menjaga badan, saya juga merawat diri dan wajah dengan ke
salun kecantikan. Hendak dijadikan cerita Putri, ketika inilah lelaki-lelaki
yang selama ini tidak perasan dengan kewujudan saya, telah mula membuka mata
mereka seluas-luasnya.
Saya akhirnya mendapat
kerjaya yang setaraf dengan kelayakan saya. Betullah kata orang, jika kita
cantik keyakinan kita akan tinggi, setinggi menara KLCC. Dengan kerjaya yang
saya miliki, berkereta besar, saya sering menjadi buruan lelaki. Tidak
keterlaluan saya katakan, kini saya adalah kegilaan ramai lelaki. Tetapi maaflah, hati saya
belum terbuka untuk sesiapa kerana saya tahu mereka cuma cintakan paras rupa
saya sahaja, tidak lebih dari itu. Jika saya kembali seperti dahulu semula,
potong jari, tidak mungkin mereka akan menerima saya.
Terlalu mudah untuk mengimpikan dan mengangankan sesuatu yang indah2 tetapi untuk menjadikan impian itu satu realiti memang terlalu payah dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Walaupun begitu saya sangat berbesar hati dan bangga sekurang-kurangnya luahan rasa saya yang pernah tersiar di dada akhbar terlaris ini menjadi sumber inspirasi dan kejayaan kepada orang lain... Syabas...
Tak perlu mencari wanita secantik Zulaikha andai dirimu tidak segagah Adam, Usah diharap kasih setulus Balqis andai dirimu tidak sehebat Sulaiman... Carilah wanita yang baik dan berakhlak mulia kerana sebaik2 perhiasan dunia itu adalah wanita solehah...