29 March 2014

Tauhu Sumbat Ayam Cendawan

Menu sarapan pagi  ni, tauhu sumbat ayam cendawan hasil perkongsian resepi dari teman di fb group. Menu yang simple dan amat menyelerakan

5 keping tauhu dipotong 2 digoreng dan disejukkan.
Bahan2 inti:-
1 tin cendawan butang dihiris halus
I cawan ayam / daging cincang
1 biji bawang besar cincang
1 biji telur ayam
Lada putih, garam dan perasa
Bahan hirisan-cili merah, cili hijau dan daun sup.
tumiskan smua bahan2 inti hingga masak dan sejukkan seketika. Kemudian masukkan inti tadi ke dalam tauhu yg di ptg dua di celup telur dan di goreng.  Selamat mencuba. 








10 March 2014

Misteri Pesawat MH370


Pertama sekali saya merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. Saya sebenarnya keliru dan sebak dengan apa yang telah terjadi. Sememangnya apa-apa pun yang terjadi kepada negara saya, Malaysia saya amat prihatin dan mengambil tahu. Pesawat milik Malaysia Airline System (MAS) MH370 yang menggunakan boeing 777-200 dalam penerbangan pukul 12.41 pagi 8 Mac 2014 dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak dapat dikesan oleh radar kawalan trafik udara pada pukul 2.41 pagi.
Harini saya diberi kekuatan untuk menulis post ini. Walaupun bukan kaum keluarga saya yang terlibat dan sekadar kenalan pada jiran sekampung yang mana anaknya antara salah seorang mangsa, namun telah banyak airmata saya tumpah pada hari pertama lagi.  Saya disconnect dengan semua laman sosial dan duduk seharian di depan tv kerana itu sahaja media yang saya boleh percayai.

Namun dalam kesedihan yang melanda setiap rakyat Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya dengan trajedi ini, saya sedikit kesal, bukanlah ramai dan banyaknya bantuan yang diperlukan. Tetapi kejayaan misi menyelamat sebenarnya adalah kepantasan masa yang dikerahkan. Pada ketinggian 35000 kaki sebuah pesawat hanya memerlukan 10 minit untuk terhempas ke dalam laut dan krew serta penumpang hanya mempunyai 10 dan 15 minit untuk menyelamatkan diri sebelum karam.. (sumber dari Kapten Datuk Nik Huzlan, mantan Juruterbang MAS dalam temubual bersama TV3) Kalaulah misi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dikerahkan seawal pukul 8.30 pagi  (lebih 6 jam selepas MH370 tidak dapat dikesan oleh radar). Itu kata merekalah, tapi saya percaya misi menyelamat lebih lewat dari itu. Kalau andaian ini benar terjadi kita dah dapat agak apa yang berlaku kepada semua penumpang dan anak kapal itu. 

Jawapan pihak berwajib pastinya terlalu klise ada banyak SOP yang perlu dikeluarkan sebelum arahan SAR dikeluarkan. Persoalannya perlu ke SOP yang meleret-leret dalam kejadian yang melibatkan nyawa beratus manusia ini?. Come on lah ketepikan lah SOP yang meleret-leret itu demi jiwa-jiwa yang perlu segera diselamatkan, begitu juga kita terpaksa ketepikan kedaulatan negara dengan membenarkan negara lain masuk ke perairan negara kita untuk operasi SAR kerana nyawa tidak boleh dibataskan dengan apa-apa peraturan dan undang-undang sekalipun.

Pada malam hari pertama mendapat berita sedih ini saya membaca surah yassin berdoa untuk keselamatan mangsa terlibat dan dalam tidur saya bermimpi.. Maaf, mungkin mimpi saya tidak wajar dikongsikn di sini, tapi setelah hari ke 3 misteri kehilangan masih belum terungkai saya sebak dan sebal mengenangkan mimpi saya..  Marilah kita terus sama-sama berdoa tanpa jemu semoga doa kita antara yang didengar dan dimakbulkanNya. Ya Allah tunjukkanlah kekuasaan Mu yag meliputi 7 petala langit dan bumi… kami berharap padaMu dengan sebenar2 pertolongan. Perkenankan ya Rabb... 

5 February 2014

PBT oh PBT (Majlis Daerah Mersing)


Banyak betullah masalah dengan PBT ni dulu dengan Majlis Bandaraya Melaka pada tahun 2010, sekarang dengan Majlis Daerah Mersing pulak. Sila refer forum bertarikh 26 Disember 2013 ni Rumah Usang di Taman Intan Jaya mersing kalau nak tahu apa yang aku bebelkan ni. Malas dah nak cerita panjang-panjang.. . Agaknya PBT ni memang jenis tuli jer kan orang mengadu bagai nak rak sampai masuk paper pun buat derk je..




1 February 2014

Sambal Jering Ikan bilis

Resepi sambal jering ikan bilis ni, kalau tak salah aku terkenal di Pahang. Jering yang digunakan dalam resepi ini adalah jering tua yang disemai terlebih dahulu di dalam tanah sehingga keluar akar. Jering kemudian dibersihkan dipotong kecil di goreng terlebih dahulu sehingga lembut. Kemudian ditumis bersama cili api, bawang dan ikan bilis.. pergghhhh sangat enak dimakan dengan nasi panas. Hari ni jom kita cuba dan rasakan keenakan resepi tradusional ini...







14 January 2014

Cuti - Cuti Kuantan

Mood nak bercuti tetiba jer datang walhal perancangan awal untuk 2014 ni hujung-hujung tahun nanti baru nak pegi jenjalan. Petang Jumaat 10 Januari 2014, aku dan suami bergerak menuju ke Kuantan melalui jalan baru yang kami ricky (Selandar - Gemencheh - Muadzam Shah - Kuantan). Bertolak kira-kira pukul 4.30 petang, sampai di Gambang pukul 8.00 malam. Singgah untuk dinner sebelum terus ke Bandar Kuantan untuk mencari Hotel. Susah juga nak cari hotel malam-malam kerana lokasi yang kurang familiar akhirnya kami bermalam di sebuah hotel di jalan Bukit Sekilau setelah 2, 3 buah hotel yang kami singgah kurang memberi kepuasan.

Pagi-pagi lagi kami dah bangun, misi aku nak cari nasi dagang kuantan. kami terus berkemas dan check out, Perjalanan diteruskan ke Pantai Batu Hitam kerana suami dah berpesan awal-awal lagi dia nak menginap di resort tepi laut. Kami sampai di Black Stone Resort Kuantan kira-kira pukul 10.00 pagi. setelah membayar harga chalet kami dibenarkan terus check in. untunglah dapat check in awal. Resort ni biasa2 jer, tapi aku paling suka dengan lokasinya yang menghadap pantai serta sunyi dan tenang. Bilik untuk Standard room hanya RM150 semalam tetapi agak kecil dan muat-muat untuk 2 orang sahaja. Selesai check in kami keluar ke gerai berdekatan untuk sarapan pagi. Nasib baik kerana gerai tersebut ada menjual nasi dagang yang enak rasanya.

Sebelah petang, kami berjalan-jalan ke Pantai Beserah untuk menikmati Mee Calong, malamnya pula kami ke restoran seafood Pantai Balok untuk menikmati makan malam, harga makanan di sini dari sarapan pagi hinggalah ke malam sangat berpatutan.

Pagi Ahad 12 Januari 2014 kami bertolak balik melalui jalan Pekan kerana hendak bermalam di rumah orang tuaku di Mersing. Dalam perjalanan kmi singgah di Kampung Ubai untuk sarapan pagi. Sebagai penggemar nasi dagang, aku ingin sangat merasai kenenakan nasi dagang kampung ubai yang disebut-sebut orang. Tapi setelah merasainya alahai tak kenalah dengan selera aku, kuahnya cair dan rasanya biasa-biasa aje cuma harganya yang murah cuma RM3.00 sepinggan.






Nasi Dagang Pantai Batu Hitam yang enak rasanya

Mee Calong Pantai Beserah RM3.50 semangkuk

Makan malam di salah sebuah resoran di pantai Balok hanya RM25

Nasi Dagang Ubai yang indah khabar dari rupa... 


6 January 2014

Seleraku

Di masa terluang aku rajin melayari internet mengoogle resepi2 masakan. Ketika melihat resepi2 masakan yang enak2 ini aku terimbau kembali zaman kanak-kanak ku yang ketika itu mempunyai selera makan yang sangat tinggi, maklumlah budak2 yang sedang membesar apa sahaja semua sedap dimakan.

Sehingga kini aku masih dapat menyenaraikan satu persatu makanan-makanan kegemaranku ketika zaman kecil dahulu. Di sini aku senaraikan makanan kegemaranku bermula usiaku 6 tahun. Bagiku inilah makanan-makanan yang paling sedap di dunia:-

1. Nasi Lemak Daun Pisang Makcik Yah (Jiranku ketika di Kluang Johor) dijual hanya 20 sen sebungkus
2. Nasi Lemak di Kantin Sekolah Felda Endau yang dijual ketika bulan puasa - 20 sen sebungkus
3. Bihun dan Mi Lidi Mak Jah di Felda Endau (Kampungku) - 20 sen sebungkus
4. Mi Lidi Mak Ati (juga Felda Endau) - 20 sen sebungkus
5. Nasi Dagang Pak Zainal (Felda Endau) - 20 sen sebungkus
6. Nasi Dagang Bah Senah (Felda Endau) - 30 sen sebungkus
7. Bihun Goreng bungkus daun pisang mak kawan sekelas aku, kamisah sarib (Felda Endau) - 20 sen sebungkus
8. Nasi berlaukkan sayur kacang, ikan bilis goreng dan kacang tanah di kantin sekolah Felda Endau yang diberi percuma.
9. Nasi lemak ikan tongkol di kafe Uitm Sura Hujung Dungun Terengganu
10. Nasi goreng Minang di kedai belakang CIMB Sura Gate Dungun Terengganu
11. Last but not least juadah yang tersedap di dunia ialah nasi goreng nenek aku...

Dan alangkah bagusnya kalau kenikmatan menjamah keenakkan makanan-makanan itu bisa dinikmati lagi di saat ini. Tetapi bila kita sudah ada duit sendiri, kenikmatan menjamah makanan tidak lagi senikmat waktu kecil dahulu kan...kenapa ya?

4 January 2014

Tok dan Zaman Dulu ku

Masa aku kecik2 dulu, Atok/Tok (panggilan orang johor bagi nenek perempuan) yang besarkan aku, sebelum pergi menoreh getah, beliau akan terlebih dahulu membuat kuih untuk jualan. Seingat akulah, kuih yang biasa dijual oleh Tok ku ialah kuih keria, cucur udang, cucur badak dan karipap. Entri aku di awal tahun 2014 ni bukanlah untuk menceritakan susah dan jerihnya kehidupan aku ketika kecil tanpa ayah dan ibu di sisi, tetapi aku ingin mengimbau kembali saat2 aku membesar dengan didikan dan asuhan Tok di kampung. Walaupun Tok ku tidak berpelajaran, tidak tahu membaca dan menulis, tetapi alhamdulillah, aku dididik menjadi orang yang berpelajaran duniawi dan akhirat dan khatam al quran ketika umur 11 tahun.

Waktu pagi sebelum ke sekolah, Tok akan menyediakan sarapan, nasi goreng yang Tok masak menggunakan dapur arang atau kadang2 dapur kayu (bila stok arang telah habis) amat lazat rasanya. Keenakkannya terasa di hujung lidah sehingga kini. Resepi yang sangat ringkas, cili kering, ditumbuk bersama bawang merah, bawang putih dan ikan bilis, ditumis dan digoreng menjadi nasi goreng yang sangat lazat di dunia. 

Di sekolah Tok hanya membekalkan aku 20 sen sehari sebagai belanja. Alhamdulillah aku kenyang dengan 20 sen itu kerana dengannya aku boleh menikmati nasi lemak dan air di kantin sekolah pada waktu rehat. Usai waktu persekolahan kira-kira pukul 1.00 tengahari, Tok yang baru pulang dari kebun menoreh getah bergegas untuk memasak makan tengahari kami. Menu asam pedas rebus ikan duri menggunakan cili besar merah ditumbuk bersama kunyit, bawang merah dan bawang putih, di ketuk sedikit lengkuas, direbus begitu sahaja bersama air asam jawa dan daun kesum cukup membuka selera. Oh Tok sesungguhnya aku sangat rindu pada air tanganmu...

Tahun ini Tok masih bersama- sama kami, aku sentiasa doakan dia sihat, beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Terima kasih Tok kerana menjaga aku sehingga aku menjadi seperti apa aku sekarang. Semuanya kerana jasa dan pengorbanan mu. Budi mu terlalu luhur dan tak mungkin dapat ku balas...